Friday, July 30, 2010

Pencegahan Kepada Masalah Bengkak Susu


Selain daripada masalah kurang susu, masalah bengkak susu juga selalu menjadi penyebab ibu berputus asa dalam penyusuan. Ini kerana kesakitan yang dialami akibat daripada bengkak susu tadi boleh menyebabkan ibu trauma. Oleh itu, amat penting bagi ibu untuk tahu dan ambil tahu bagaimana cara untuk mengelak berlakunya bengkak susu ini.

Bengkak susu ini berlaku apabila susu peralihan telah mengambil tempat di dalam payudara yang mana keadaan ini selalunya ibu-ibu akan kata susu sudah datang atau susu sudah ada.

Mengapa berlakunya bengkak susu?

Ianya berlaku kerana pengurusan penyusuan susu ibu yang tidak di urus dengan baik. Antara contoh pengurusan penyusuan yang kurang berkesan adalah termasuk kurangnya penyusuan secara terus bayi ke payudara ibu, pengosongan payudara yang tidak sepenuhnya, pelekapan yang tidak betul, pemberian puting kosong/air masak/susu formula dan sebagainya.

Perlu diingatkan bahawa penyusuan yang melebihi 8 kali/hari adalah diperlukan dan tempoh sesuatu penyusuan jangan terlalu singkat. Mengapa tidak boleh terlalu singkat? Ini kerana susu ibu mempunyai 2 kategori. Susu Awal dan juga susu akhir. Susu Awal mempunyai lebih air dan cair, manakala susu akhir mempunyai lemak dan khasiat-khasiat yang diperlukan dalam tumbesaran bayi.

Ibu perlu menyusu mengikut kehendak bayi dan juga mengikut kehendak ibu juga. Maksud saya ialah lihat pada isyarat yang bayi telah beri. Jangan tunggu bayi sudah menangis baru mahu diberi susu. Sudah tentu huru hara keadaaan pada ketika itu. Nanti ibu dan bayi sama-sama tertekan. Penyudahnya susu tidak keluar walaupun payudara sudah bengkak. Juga jika payudara ibu masih terasa penuh walaupun sudah menyusu cuba memerah susu badan anda supaya tiada yang tertinggal di dalam payudara dan payudara terasa kosong dan ringan.

Jika bayi anda tidur dan sudah tiba waktu untuk menyusu, contohnya 2 jam yang lepas bayi sudah menyusu dan masih tidur selepas 2 jam, kejutkanlah bayi anda untuk sesi penyusuan yang seterusnya. Jangan pula anda biar bayi anda tidur dan tidak menyusukan bayi hanya kerana kasihan untuk mengejutkan bayi anda daripada tidur.

Pastikan tiada gangguan dalam penyusuan susu ibu. Ini termasuklah lebih mengutamakan pam susu (breastpump) daripada bayi. Sehebat mana dan semahal mana pun pam susu anda, ianya masih belum dapat menandingi keberkesanan hisapan bayi anda. Senang cerita kehebatan pam masih jauh ketinggalan berbanding hisapan bayi. Jadi pastikan anda susukan bayi anda dengan sekerap yang mungkin. Jika bayi sudah tidak mahu meneruskan penyusuan, baru perah untuk pengosongan payudara tadi.

Pemberian air masak, puting kosong dan susu formula juga merupakan gangguan yang terbesar dalam penyusuan susu ibu. Ianya juga merupakan salah satu sebab mengapa berlakunya bengkak susu dan juga akan menyebabkan pengeluaran susu anda mula terganggu dan menjadi kurang. Perlu ingat, perut bayi sangat kecil. Bayi baru lahir tidak perlu 2 oz atau lebih teruk lagi jika diberi 4 oz pada setiap sesi penyusuan. Bayi baru lahir perut mereka hanya sebesar kacang hazel. Mana mungkin akan dapat mengisi 2 oz tersebut. Keperluan baby akan meningkat seiring dengan tumbesarannya.

Susukanlah bayi anda dengan SUSU IBU SAHAJA.

Jika pengurusan penyusuan ini (breastfeeding management) dapat dilakukan dengan baik, insyaAllah, tidak akan terjadi bengkak susu yang menyebabkan anda trauma. Pengurusan penyusuan yang tidak cekap pula akan menyebabkan masalah lain seperti demam, mastitis dan sebagainya.

Salam Kasih,

ZATUL HIJANAH RAMZI
Kaunselor Laktasi/ Kolumnis & Penulis Artikel Penyusuan Susu Ibu Untuk Majalah Mami & Baby

sumber: ratuhati.com

No comments:

Post a Comment

Jom baca ini juga ...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Anda Dihargai... Terima Kasih :)

Siapakah Penulis Yang Baik?

Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com