Saturday, July 31, 2010

Jangan Bunuh Angsa Itu

“Macam tidak percaya. Angsa kita bertelur telur emas!” kata petani tua itu kepada isterinya.

Hidup mereka sudah lama dibelenggu kemiskinan.

Mendapat angsa bertelur emas, adalah sesuatu yang di luar bayangan. Dengan emas itu mereka mengubah keadaan hidup. Jika dahulunya rumah mereka menunggu masa menyembah bumi, kini sudah tegap mendukung langit.

Namun, perubahan yang berlaku agak perlahan.

Mengapa hanya seketul emas sehari?

Mengapa tidak lebih daripada itu?

Timbul rasa tamak di hati petani itu dan isterinya. Tamak yang akhirnya membutakan pandangan dan fikiran. Mereka berdua membunuh angsa itu. Perutnya dibelah dengan harapan lebih banyak emas boleh dikorek keluar. Namun apa yang ada, adalah apa yang biasa ada di dalam perut seekor angsa. Tiada lagi emas, kerana angsa sudah tiada!

Kisah itu merupakan hikayat Aesop yang terkenal. Ia amat simbolik pada mengungkapkan akibat sifat tamak.

Akan tetapi, kisah tersebut boleh menjadi lebih tragis, kalau angsa itu membunuh diri. Bukan dibunuh oleh ketamakan petani. Sebaliknya akibat kecuaian angsa menjaga diri. Angsa terabai, telur emas tinggal kenangan.


ANDA DAN SAYA ADALAH ANGSA ITU

Saya mengambil kisah angsa bertelur emas itu pada membayangkan keadaan diri.

Saya, dan kita semua adalah angsa itu. Angsa yang berbakat, berkemahiran, banyak yang boleh disumbangkan di tempat kerja, di tempat berniaga, di tempat berperanan, kepada seluruh umat. Sumbangannya pula bukan sebarang. Setiap kita adalah istimewa kerana telur emas kita didamba oleh sekalian manusia. Namun malang sekali kalau angsa itu didesak bertelur lebih daripada kemampuannya. Atau angsa itu membiarkan dirinya menjadi mangsa. Diperlakukan hingga mati, atau membiarkan sahaja dirinya mati.

Sungguh malang.

Bermuhasabahlah kita pada mengimbangkan seluruh aspek kehidupan ini. Jangan tamakkan satu manfaat hingga memejamkan mata kepada datangnya mudarat. Islam sebagai satu cara hidup yang sempurna dan antara aspek kesempurnaan itu adalah pada mengagih-agihkan bahagian masa dan usia pada semua yang diperlukan manusia. Ia agama yang mengajar manusia hidup sebagai manusia.


KISAH HANZALAH

“Mengapa dengan kamu?”Abu Bakar bertanya.

“Hanzalah sudah jadi munafiq. Hanzalah sudah jadi munafiq. Hanzalah sudah jadi munafiq!” kata Hanzalah, penuh kesal.

Terkejut Abu Bakar mendengarnya.

“Mengapa kamu berkata begitu?” Abu Bakar meminta penjelasan.

“Semasa aku duduk di dalam majlis Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam dan mendengar tentang Syurga serta Neraka, iman aku meningkat kepada keadaan yang baik. Tetapi tatkala aku bekerja dan kembali kepada keluargaku, imanku terjejas dan menurun. Hanzalah sudah jadi munafiq!” cerita Hanzalah.

Keterangan itu menggusarkan Abu Bakar. Beliau juga merasainya.

Mereka berdua pergi bertemu dengan Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam dan menceritakan kisah kebimbangan Hanzalah yang amat signifikan itu. Lalu Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda:

“Demi Dia yang jiwaku berada di tangan-Nya, jika kamu sentiasa berada di tahap yang sama seperti ketika mana kamu bersama denganku dan semasa mengingati Allah, nescaya Malaikat akan berjabat tangan denganmu ketika kamu berhenti rehat atau berjalan! Akan tetapi, wahai Hanzalah, ada masa untuk ini dan ada masa untuk itu (Baginda mengulang menyebutnya tiga kali)”[Hadith riwayat Muslim]

Dalam bahasa yang lebih mudah, jika keadaan dirimu sentiasa baik seperti di dalam majlis ilmu dan ketika di luar majlis ilmu, nescaya Malaikat itu akan tabik spring dengan kamu! Hebatlah jika begitu. Namun ia menyalahi tabiat manusia. Iman itu pasang dan surut. Agama Islam, tidak pernah menafikan hal yang amat fitrah ini. Lalu Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam menegaskan kenyataan berikut:

“ada masa untuk ini dan ada masa untuk itu…”

Masa bekerja, perlu bekerja. Masa mengaji, perlu mengaji. Masa sibuk, sibukkan diri. Masa berehat, perlu berehat.


REKREASI DIANGKAT JADI IBADAH

Semuanya diagih-agihkan mengikut keperluan yang seimbang dalam hidup manusia. Justeru aktiviti berehat, bersantai, beriadhah dan berekreasi, diangkat menjadi urusan agama.

كلُّ شيء ليس من ذكر الله فهو لغو ولهو إلا أربع خصال : مشي الرجل بين الغرضين ، وتأديبه فرسه ، وملاعبته أهله ، وتعليم السباحة

“Setiap sesuatu yang bukan zikrullah adalah tidak bermakna dan kelalaian, kecuali empat perkara: (1) Seorang laki-laki berjalan antara dua sasaran (untuk memanah). (2) Seorang yang melatih kudanya. (3) Bergurau senda seseorang dengan isterinya. (4) Belajar berenang.” (Riwayat Thabarani)

Rekreasi di luar dan di dalam rumah diangkat oleh Islam menjadi urusan agama. Biar pun tabiat empat perkara itu jauh daripada bayangan manusia tentang apa yang dinamakan sebagai zikrullah, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam memberikan penegasan bahawa aktiviti-aktiviti itu bukan sia-sia. Ada nilai yang penting di sisi Islam, ada manfaat yang besar kepada umat. Malah kemahiran-kemahiran yang terhasil daripada aktiviti berkenaan menjadi aset yang mesti dipelihara sebagai satu amanah.

Bayangkan!

Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah berkata:

مَنْ عَلِمَ الرَّمْيَ ثُمَّ تَرَكَهُ فَلَيْسَ مِنَّا -أَوْ قَدْ عَصَى

“Barangsiapa yang telah belajar memanah kemudian dia meninggalkan kemahirannya itu, maka dia bukanlah daripada kalangan kami – telah mendurhakai (kami) –” [Riwayat Muslim]


ADAKAN MASA

Jangan terus beralasan ketiadaan masa. Biar pun Kalendar Google saya sudah sendat, saya tidak berani untuk membayangkan (apatah lagi menyebutnya), bahawa saya lebih sibuk daripada Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Namun, Baginda yang sibuk itu, dalam ketiadaan masa, mengadakannya.

Lumba lari Rasulullah sallalaahu ‘alayhi wa sallam bersama Aisyah radhiyallaahu ‘anha adalah contoh rekreasi yang dibuat semasa sibuk. Baginda dan Aisyah yang bersama di dalam sebuah misi menyuruh para sahabat bergerak dahulu dan membiarkan mereka berdua di belakang. Semasa itulah mereka berdua berprogram!

Baginda kreatif mengadakan masa untuk melakukan apa yang perlu dilakukan. Bukan sahaja untuk kesihatan tubuh, malah untuk kesihatan rumahtangga.


ANTARA RIADAH DAN BUDAYA SAMPINGAN

Akan tetapi, dalam keindahan Islam mengangkat rekreasi menjadi urusan agama, kita tidak harus lupa kepada tujuannya. Motif berekreasi mesti disemak dari semasa ke semasa. Rekreasi dan sukan selalu datang dengan budaya. Sukannya digalakkan. Budayanya mesti disaring dengan orientasi tujuan dan hukum Tuhan.

“Kuda itu ada tiga macam: kuda Allah, kuda manusia dan kuda syaitan. Adapun kuda Allah ialah kuda yang disediakan untuk berperang di jalan Allah, maka makanannya, kotorannya, kencingnya dan apanya saja – mempunyai beberapa kebaikan. Ada pun kuda syaitan, iaitu kuda yang dipakai untuk berjudi atau untuk dibuat pertaruhan, dan ada pun kuda manusia, iaitu kuda yang diikat oleh manusia, ia mengharapkan perutnya (hasilnya), sebagai usaha untuk menutupi keperluannnya. “[Riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Menunggang kuda sangat dianjurkan oleh Islam. Tetapi judi yang menjadi budaya di sekitar menunggang kuda itu ditolak oleh Islam. Sama jugalah dengan sukan-sukan yang lain. Bermain bola itu bagus untuk kerjasama, fokus, kesihatan tubuh dan kecergasan diri. Tetapi judi yang mengiringinya, sentimen ketaksuban pasukan, malah imej-imej pengiklanan penaja berbentuk arak dan loteri, semua itu amat dicela oleh Islam. Muslim mesti mampu menyaring di antara sukan sebagai rekreasi dengan budaya-budaya sekitar sukan yang membinasakan.

Atas sebab yang sama, Syaikh Madun Rashid di dalam kitabnya Qadhayaa al-Lahwi wa al-Tarfih(Isu-isu Hiburan dan Masa Lapang) menyebut, “golf pernah diharamkan di Scotland pada tahun 1457M kerana ia menyebabkan rakyat malas berlatih kuda dan memanah dan secara umumnya tidak memberi manfaat kepada negara” Bukan golf itu yang tercela, tetapi tatkala sukan tersasar daripada matlamat yang murni, ia menjadi suatu kecelaan yang ditegah agama.

Berehat, bersantai, bersukan, semua dengan tujuan.


SELAMATKAN ANGSA

Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam tentu berasa sedih jika umatnya dilihat ramai memenuhi klinik Endokrin dan Kardiologi di hospital. Justeru marilah kita bersama-sama berusaha hidup seimbang dan menjadi mukmin yang dikasihi Allah Subhanahu wa Ta’aala.

(المؤمن القوي خير وأحب إلى الله من المؤمن الضعيف، وفي كلٍّ خير. (صحيح مسلم، كتاب القدرة، باب في الامر قوة

“Seorang Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih disukai Allah berbanding dengan seorang Mukmin yang lemah. Pada setiap seorang daripada kedua-duanya ada kebaikan (selagi beliau seorang Mukmin)” [Sahih Muslim]

Masyarakat, AJK Masjid dan para penganjur semua, jangan bunuh angsa telur emas anda.

Angsa, jangan bunuh diri!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Friday, July 30, 2010

6 Cara Mengurangkan Stress

Tahukah anda stres atau tekanan boleh menyebabkan kenaikan berat badan? Apabila anda mengalami tekanan, badan anda akan menghasilkan hormon kortisol yang lazimnya akan meningkatkan keinginan anda menjamah makanan tinggi gula dan lemak. Jangan risau! Anda boleh mengelakkan penghasilan hormon kortisol dengan mengatasi stress yang dialami dengan 6 tips berkesan.


1. Teknik pernafasan- Senaman yang melibatkan pernafasan seperti tai chi dan yoga boleh membangkitkan rasa tenang dan mengurangkan hormon stres. Bagi anda yang tiada masa untuk mengamalkan senaman, cuba luangkan 5 minit saja sehari untuk tarik nafas dalam-dalam perlahan-lahan dan lepaskan semula nafas perlahan-lahan. Insya Allah, anda akan berasa tenang.

2. Senaman – Bagi sesetengah orang (termasuk saya), perkataan senaman merupakan sesuatu yang formal dan memenatkan sehingga menyebabkan kita menghindarinya. Sebaliknya, cuba fikirkan senaman sebagai aktiviti fizikal atau pergerakan yang menyeronokkan seperti bermain bersukan dan berkebun. Libatkan anak-anak dan suami supaya aktiviti fizikal anda lebih bermakna di samping menggalakkan ahli keluarga bersenam. Luangkan 15-30 minit sehari sahaja sudah mencukupi untuk membakar kalori anda, bahkan juga membantu anda melawan segala hormon stres yang tidak diingini.

3. Makan ikut masa – Bagi masyarakat kita, makan 3 kali sehari sudah mencukupi. Sebaliknya, pertimbangkan 5-6 kali hidangan kecil yang lengkap dengan protein dan karbohidrat supaya gula dalam darah stabil dan pengeluaran hormon stres dapat dielakkan. Anda akan mendapati tahap tenaga paling tinggi apabila anda mangambil makanan setiap 2-3 jam. Tapi INGAT! Ambil makanan yang berkhasiat seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan makanan kurang lemak dan gula dalam kuantiti yang berpatutan. Bak kata sunnah nabi, berhenti sebelum kenyang. Nescaya stres berkurangan, badan sihat dan pahala pun dapat kerana mengikuti sunnah nabi.

4. Tidur yang mencukupi – Kajian perubatan telah menunjukkan bahawa tahap hormon kortisol meningkat apabila individu kurang tidur. Hormon kortisol yang tinggi menyebabkan keinginan terhadap makanan tinggi gula dan lemak juga meningkat di siang hari. Keadaan ini akan menyebabkan individu berkenaan mengalami stres dan juga risiko yang tinggi untuk peningkatan berat badan. Jadi, pastikan anda mendapat tidur yang mencukupi. Jangka waktu tidur yang mencukupi berbeza bagi setiap individu. Anda tahu anda cukup tidur apabila anda bertenaga dan bersemangat sepanjang hari. HATI-HATI! Jangan terlebih tidur! Terlebih tidur akan membuatkan anda berasa lesu dan lemah.

5. Elakkan kafein, rokok dan alkohol – Pastikan anda tidak merokok serta mengambil kafein dan alcohol. Berdasarkan American Institute of Stress (AIS), ketiga-tiga faktor ini akan meningkatkan tahap kortisol, sekaligus menyebabkan stres dan kelaparan serta menurunkan paras gula dalam darah.

6. Ambil vitamin dan mineral – Banyak kajian yang telah membuktikan stres boleh menyebabkan penurunan vitamin dan mineral yang penting dalam badan. Sebanyak 9 hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran sehari disyorkan untuk memenuhi keperluan vitamin dan mineral dalam tubuh anda. Bagi saya, pengambilan suplemen atau multivitamin lebih mudah kerana untuk memenuhi 9 kali hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran akan menyebabkan saya mengalami tekanan juga! Dapatkan nasihat doktor atau pakar pemakanan supaya anda mengambil suplemen yang bersesuaian dengan keperluan badan anda.

Dengan mencuba tips di atas, anda akan berasa lebih tenang dan sihat!

sumber : http://comelnya.com/

Pencegahan Kepada Masalah Bengkak Susu


Selain daripada masalah kurang susu, masalah bengkak susu juga selalu menjadi penyebab ibu berputus asa dalam penyusuan. Ini kerana kesakitan yang dialami akibat daripada bengkak susu tadi boleh menyebabkan ibu trauma. Oleh itu, amat penting bagi ibu untuk tahu dan ambil tahu bagaimana cara untuk mengelak berlakunya bengkak susu ini.

Bengkak susu ini berlaku apabila susu peralihan telah mengambil tempat di dalam payudara yang mana keadaan ini selalunya ibu-ibu akan kata susu sudah datang atau susu sudah ada.

Mengapa berlakunya bengkak susu?

Ianya berlaku kerana pengurusan penyusuan susu ibu yang tidak di urus dengan baik. Antara contoh pengurusan penyusuan yang kurang berkesan adalah termasuk kurangnya penyusuan secara terus bayi ke payudara ibu, pengosongan payudara yang tidak sepenuhnya, pelekapan yang tidak betul, pemberian puting kosong/air masak/susu formula dan sebagainya.

Perlu diingatkan bahawa penyusuan yang melebihi 8 kali/hari adalah diperlukan dan tempoh sesuatu penyusuan jangan terlalu singkat. Mengapa tidak boleh terlalu singkat? Ini kerana susu ibu mempunyai 2 kategori. Susu Awal dan juga susu akhir. Susu Awal mempunyai lebih air dan cair, manakala susu akhir mempunyai lemak dan khasiat-khasiat yang diperlukan dalam tumbesaran bayi.

Ibu perlu menyusu mengikut kehendak bayi dan juga mengikut kehendak ibu juga. Maksud saya ialah lihat pada isyarat yang bayi telah beri. Jangan tunggu bayi sudah menangis baru mahu diberi susu. Sudah tentu huru hara keadaaan pada ketika itu. Nanti ibu dan bayi sama-sama tertekan. Penyudahnya susu tidak keluar walaupun payudara sudah bengkak. Juga jika payudara ibu masih terasa penuh walaupun sudah menyusu cuba memerah susu badan anda supaya tiada yang tertinggal di dalam payudara dan payudara terasa kosong dan ringan.

Jika bayi anda tidur dan sudah tiba waktu untuk menyusu, contohnya 2 jam yang lepas bayi sudah menyusu dan masih tidur selepas 2 jam, kejutkanlah bayi anda untuk sesi penyusuan yang seterusnya. Jangan pula anda biar bayi anda tidur dan tidak menyusukan bayi hanya kerana kasihan untuk mengejutkan bayi anda daripada tidur.

Pastikan tiada gangguan dalam penyusuan susu ibu. Ini termasuklah lebih mengutamakan pam susu (breastpump) daripada bayi. Sehebat mana dan semahal mana pun pam susu anda, ianya masih belum dapat menandingi keberkesanan hisapan bayi anda. Senang cerita kehebatan pam masih jauh ketinggalan berbanding hisapan bayi. Jadi pastikan anda susukan bayi anda dengan sekerap yang mungkin. Jika bayi sudah tidak mahu meneruskan penyusuan, baru perah untuk pengosongan payudara tadi.

Pemberian air masak, puting kosong dan susu formula juga merupakan gangguan yang terbesar dalam penyusuan susu ibu. Ianya juga merupakan salah satu sebab mengapa berlakunya bengkak susu dan juga akan menyebabkan pengeluaran susu anda mula terganggu dan menjadi kurang. Perlu ingat, perut bayi sangat kecil. Bayi baru lahir tidak perlu 2 oz atau lebih teruk lagi jika diberi 4 oz pada setiap sesi penyusuan. Bayi baru lahir perut mereka hanya sebesar kacang hazel. Mana mungkin akan dapat mengisi 2 oz tersebut. Keperluan baby akan meningkat seiring dengan tumbesarannya.

Susukanlah bayi anda dengan SUSU IBU SAHAJA.

Jika pengurusan penyusuan ini (breastfeeding management) dapat dilakukan dengan baik, insyaAllah, tidak akan terjadi bengkak susu yang menyebabkan anda trauma. Pengurusan penyusuan yang tidak cekap pula akan menyebabkan masalah lain seperti demam, mastitis dan sebagainya.

Salam Kasih,

ZATUL HIJANAH RAMZI
Kaunselor Laktasi/ Kolumnis & Penulis Artikel Penyusuan Susu Ibu Untuk Majalah Mami & Baby

sumber: ratuhati.com

Wednesday, July 28, 2010

Menilai Meja kopi

kopi

SAYA menulis artikel ini dalam keadaan yang amat letih. Petang Sabtu seperti biasa adalah waktu penamat untuk pengiriman artikel.

Pagi tadi (Sabtu) saya baru sahaja sampai dari London. Pergi ke sana hanya dua hari setengah. Sempat untuk mengisi dua ceramah.

Satunya khas untuk siswi dan satu lagi majlis yang agak besar. Majlis muzakarah bersama saya itu turut dihadiri oleh beberapa pemimpin politik tanahair.

Di samping itu, saya sempat berjumpa dengan beberapa sahabat karib yang sering bertukar-tukar pandangan. Mereka masih di United Kingdom. Antara mereka penulis terkenal dengan ketajamannya Saudara Maszlee Malik dan peguam yang ternama Saudara Ahmad Jailani. Mereka bakal mendapat Ph.D masing-masing insya-Allah.

Sahabat saya Mufti Perlis sekarang, Dr Juanda juga ada bersama. Berjumpa sahabat-sahabat yang saling memahami kadang-kala lebih membahagiakan dari berjumpa dengan mereka yang mempunyai hubungan kekeluargaan tetapi hidup di alam yang berbeza.

Kami berjumpa seperti biasa. Itulah kami, setiap kali berjumpa berbagai-bagai tajuk akan muncul, dan tidak lupa juga masing-masing bertanya khabar buku atau karya ilmiah baru yang berkaitan. Saudara Maszlee agak jaguh mengenai buku-buku Barat ini.

Walaupun dua hari amat singkat untuk kami ‘bersembang’ kesemua tajuk yang membabitkan masa depan umat Islam, negara dan rakyat Malaysia namun seperti biasa ia satu kesempatan yang manis.

Memang jika kita duduk berbincang tajuk-tajuk sedemikian dengan jiwa yang ikhlas dan mengharapkan kebaikan masa depan dakwah, umat dan rakyat, terlalu lazat dan enak rasanya.

Ia meresap dalam jiwa masing-masing. Pembentangan pemikiran, fakta dan penilaian amat mengasyikkan. Bagaikan dibuai angin yang sepoi-sepoi bahasa, waktu berlari selaju meter tajuk-tajuk yang dibincangkan.

Bilik sewaan MSD, meja kopi di Café Italy, Malaysia Hall dan kedai buku terpakai yang kami bertawaf dalamnya mengaksikan berbagai pandangan, impian, hasrat dan kerisauan tentang masa depan Malaysia. Senda gurau dan lawak jenaka menyulami perbincangan di sana sini.

Demikian kami dan sahabat-sahabat kami yang lain. Demikian juga saya yakin kebanyakan pembaca sekelian. Berbual dan bersembang bukan tiada faedahnya. Cumanya, apakah yang patut kita isi dalam perbualan dan pertemuan antara kita.

Saya catat hal ini bukan untuk menunjukkan apa yang kami lakukan. Orang lain lakukan lebih baik dari kami. Cumanya, saya ingin ingatkan pembaca tentang kepentingan tajuk ini. Manusia ini secara umumnya makhluk bersosial.

Kita inginkan teman dan rakan untuk meluahkan perasaan dan mendengar pandangan. Kadang-kala kopi dan teh hanyalah hiasan hidangan, ‘sembang-sembang’ itu yang penting. Ramai orang membazir masa sahaja kalau bersembang.

Ya, bersembang kosong memang membazir masa, bahkan kadang-kala menempah berbagai dosa. Namun berbual bersama teman, apatah lagi dengan insan-insan yang berilmu banyak faedahnya.

Perbualan yang diisi dengan ilmu dan nasihat serta lontaran cadangan dan idea yang baik, amatlah diperlukan oleh insan yang ingin membangun. Meja kopi dan teh boleh menjadi meja ilmu dan nasihat menasihati kepada kebenaran dan kesabaran atas amanah perjuangan seperti yang diajar oleh Surah al-‘Asr.

Diriwayatkan Al-Imam Abu Yusuf Ya’kub bin Ibrahim iaitu ilmuwan besar sahabat al-Imam Abu Hanifah ketika sakit hendak meninggal dunia masih lagi berbual tentang ilmu.

Ketika muridnya Ibrahim bin al-Jarrah menziarahinya di dapati beliau pitam kesakitan. Namun apabila beliau sedar sahaja dan melihat wajah muridnya itu, terus dia berbincang dengan muridnya tersebut mengenai hukum syarak.

Muridnya berkata: “Apakah pada waktu yang sebegini?”. Kata Abu Yusuf: “Tak mengapa, kita kaji, mana tahu barangkali menyelamatkan seseorang”. Selepas perbincangan, anak muridnya hendak keluar, tetapi apabila sampai sahaja ke pintu, beliau mendengar tangisan yang hadir tanda gurunya itu telah meninggal dunia. (Abu Ghuddah, Qimah al-Zaman ‘Inda ‘Ulama, m.s 15).

Ini ilmuwan dan begitulah kita jika ingin mendapatkan ilmu. Sebab itu duduk berbual dan berbicara dengan ilmuwan merupakan perkara yang terpuji dalam agama ini. Pergi berjumpa ilmuwan, mendampingi mereka, mendengar pandangan mereka, mengambil faedah dari hikmah dan ketajaman minda mereka dapat membentuk dan membangunkan seseorang.

‘Auf bin ‘Abdillah pernah berkata kepada isteri sahabat Nabi s.a.w Abu Dardak iaitu Umm al-Dardak: “Apakah kami duduk bersama engkau menyebabkan engkau jemu?”. Jawabnya: “Aku telah berusaha agar setiap perkara menjadi ibadah. Tiada yang lebih mengubati jiwaku dari duduk bersama ulama” (Al-Nawawi, Tahzib al-Asma wa al-Lughat, 1/953).

Perbualan boleh menjadi ibadah jika isi kandungannya mengingatkan kita kepada kebenaran dan kesabaran atas jalan Allah. Ia membangunkan minda dan jiwa. Sepatutnya, setiap kita ambil kesempatan ini.

Sekalipun jika tiada ilmuwan atau cerdik pandai besar dalam perbualan kita, kita mesti berusaha menjadikan perbincangan atau ‘meja kopi’ kita dihiasi dengan perkataan dan pandangan yang berusaha kepada kebaikan dan pembangunan pemikiran.

Setiap orang dengan kadar ilmunya berbicara kepada rakan apa yang dipelajari dan didapati dari bahan-bahan ilmu yang baik. Maka berfaedahlah waktu makan dan minum kita ketika bersama rakan dan sahabat handai.

Ramai dalam kalangan kita yang tidak menjadikan meja kopinya meja ilmu. Apabila duduk dengan teman dan rakan mereka jadikan perbualan kosong yang tidak membangunkan minda dan jiwa mencuri peruntukan umur yang diberikan kepada mereka.

Berbual dan bersenda bukanlah dilarang. Agama ini bukannya sempit dan jumud. Namun setiap perkara dengan kadarnya. Jika setiap kali duduk di meja kopi dipenuhi dengan perbualan kosong, atau dusta atau menyakitkan orang lain tanpa alasan yang benar adalah melampaui batasan agama.

Setiap kita patut meninggalkan meja yang seperti itu. Rosaknya sesetengah masyarakat melayu kerana ‘meja kopi’ yang menelan umur dan membazir hayat. Tajuk-tajuk perbincangan yang tidak memberikan faedah pada diri ataupun masyarakat bahkan merosakkan diri dan orang lain sering memenuhi kedai kopi kita.

Samada pada waktu pagi, ataupun ketika rehat bekerja, meja kopi menjadi tempat membazir pahala dan mengumpul dosa. Ada yang lupa hal diri dan keluarga sendiri, sibuk hal orang lain di kedai kopi.

Tanpa rasa malu pada diri, apatah lagi kepada Allah yang memberikan umur kepadanya sanggup pergi balik ke kedai kopi untuk mencari ‘rakan bual kosong’ bagaikan orang ketagihan candu. Di kampung-kampung orang melayu bukan sedikit hal yang demikian. Dari situ munculnya berbagai bisikan dan gossip dalam masyarakat kita.

Sudahlah taukeh kedai pun tidak untung seberapa dengan sekawan kopi tetapi duduk berjam-jam. Keluarga pula terabai. Masa yang dibazirkan di meja kopi itu jika dikumpulkan, barangkali orang melayu sudah mampu menguasai ekonomi negara ini. Namun, lawatilah kedai-kedai kopi di sesetengah tempat.

Di penuhi dengan ‘kaki-kaki lepak’ yang sebahagian sudah menjelang umur senja. Jika anak muda Melayu ramai yang suka lepak, orang tua-tua melayu yang suka lepak pun peratusnya pun bukan sedikit dalam masyarakat kita.

Sebab itu al-Quran melarang perbuatan lagha atau sia-sia dalam bicara yang berfaedah. Firman Allah: (maksudnya) Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Juga mereka yang khusyuk dalam solatnya. Juga mereka yang menjauhkan diri dari yang lagha” (Surah al-Mukminun, ayat 1-3). Kata al-Imam al-Sa’di dalam tafsirnya: “Lagha itu perkataan yang tiada kebaikan dan tiada faedah”.

Bersembang, berbual dan duduk di meja kopi bukan salah. Namun pengisiannya itu mestilah diislamisasikan. Jangan jadikan ia meja ‘lagha’ atau sia-sia. Jangan jadikan ia meja dosa. Jadikan ia meja pahala. Meja yang membangunkan minda. Menmbangunkan ilmu dan kebaikan, bukan membangunkan kejahatan dan mensia-siakan umur. Jika tidak mampu jadikan ia meja kebaikan, lebih tinggalkan sahaja!!

sumber:http://mstar.com.my/kolumnis/cerita.asp?file=/2010/2/6/mstar_kolum_minda_mufti/20100206214648&sec=mstar_kolum_minda_mufti

Jom baca ini juga ...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Anda Dihargai... Terima Kasih :)

Siapakah Penulis Yang Baik?

Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com