Subahanallah. Laskar Pelangi adalah contoh filem kesedaran yang ingin diketengahkan oleh pengarah dan barisan pelakonnya bahawa setiap individu mempunyai hak untuk mempunyai pendidikan setinggi mungkin walaupun berasal daripada keluarga yang miskin. Keikhlasan dan kesungguhan guru - gurunya dan method pengajaran yang digunakan mungkin perlu dijadikan panduan berguna untuk semua yang bergelar pendidik di atas muka bumi ini. Guru yang tidak pernah mengenal erti lelah dapat memastikan anak didik mereka menjadi seorang yang cemerlang di dunia dan akhirat.
Walaupun video ini memaparkan misi tarbiyah, pengarahnya tetap mengekalkan pemakaian penduduk pada zaman tersebut yang masih memakai seluar pendek, skrit dan tudung yang sesekali berada di di kepala dan sesekali pula hanya berada di atas bahu. Semoga pengekalan imej pada zaman tersebut tidak menghalang kita untuk mengambil ibrah berguna bahawa mendidik anak - anak untuk mengenal Pencipta dan mentaatinya adalah satu langkah konkrit bagi menjadi asas yang tidak akan goyah dalam menghadapi cabaran hidup masa kini.
Filem ini juga menyinggung rasa cinta yang wujud di hati anak yang masih bersekolah. Rasa cinta adalah fitrah yang tidak mampu disangkalkan kewujudannya. Namun begitu, pembelajaran adalah agenda yang paling utama dalam usia persekolahan anak - anak. Jangan sampai anak - anak terlibat dengan percintaan yang menghancurkan masa depan mereka. Percayalah bahawa jodoh itu adalah pasti dan anda akan mendapatkan jodoh terbaik yang dipilih sendiri oleh Allah untuk diri anda. Pacaran tidak pernah menjanjikan kehidupan yang bahagia tapi pernikahan adalah solusi percintaan yang selamat untuk kita bercinta hingga ke syurga.
Renungan terakhir ialah, sedar atau tidak artis adalah seorang pendakwah. Tanyakan pada diri anda, anda ingin menjadi pendakwah ke syurga atau ke neraka ? Kejayaan yang sebenar bagi seorang artis bukan pada pangkat kehormatan yang diterima, bukan pula anugerah bintang ternama, juga buka kepuasan menjayakan watak jahat dan cabul sejayanya, apatah lagi filem yang memecahkan rekod jualan dunia. Tapi kejayaan sebenar seorang artis adalah kejayaan mereka memberi contoh terbaik untuk masyarakat kembali kepada Pencipta mereka, menjadi muslim terbaik dalam hidup mereka dan menunjuk jalan ke syurga Allah.
Sesiapa yang mengajak manusia ke jalan hidayah (kebenaran), dia akan memperolehi ganjarannya seperti ganjaran orang-orang yang mengikutinya. Tidak dikurangkan sedikit pun daripada ganjaran pahala mereka. Dan sesiapa yang mengajak manusia ke jalan kesesatan, maka dia akan memperolehi dosanya seperti dosa orang-orang yang mengikutinya dengan tidak dikurangkan sedikit pun daripada dosa mereka. (Hadith riwayat Muslim – no.6980)
Semoga Allah mengurniakan kita semua hidayah untuk menuju SyurgaNya. Amin.
No comments:
Post a Comment