KOTA BHARU, 13 Mei: Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, meminta mana-mana pihak yang merancang memburukkan maruah Datuk Seri Anwar Ibrahim agar segera menghentikan tindakan itu bagi menghormati perasaan keluarga Ketua Pembangkang itu.
Menurutnya, beliau memahami perasaan ahli keluarga Anwar termasuk isterinya, Datin Seri Wan Azizah yang begitu tersiksa dengan apa yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap suaminya sejak sekian lama.
"Sudah lebih 10 tahun maruah Anwar dilanyak, dihentak, dilenyek begitu tanpa ada rasa belas kasihan, isteri mana yang tidak menderita dengan apa yang berlaku,”ujarnya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Azizah dalam sebuah akhbar harian semalam bahawa beliau begitu terseksa dengan fitnah itu.
Sehubungan itu, Tuan Guru Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan itu memohon pihak perancang yang merakam dan mendedahkan video seks yang dikaitkan dengan Anwar itu dihentikan segera.
Menurutnya, sebagai umat Islam mereka harus sedar tindakan memfitnah dan mengaibkan orang satu dosa yang besar.
Tegasnya, balasan buruk akibat tindakan itu akan diberikan Allah kepada orang yang memfitnah sejak di dunia lagi.
“Kita sebagai anggota masyarakat jangan sekali-kali bersekongkol dengan mereka yang membuat perkara buruk (fitnah) itu kerana dosanya juga akan terpalit pada kita," katanya.
sumber : Harakah
Nota : Anwar adalah orang kuat ABIM satu ketika dahulu, niatnya memasuki UMNO adalah untuk mengubah UMNO dari dalam, tapi sayang niatnya dihidu oleh Mahathir yang kemudiannya memasukkannya ke ISA. Jika betul dia bersalah, kenapa kerajaan belum dapat membuktikan kesahihannya ? Terkadang, meluat juga dengan UMNO tapi di sisi Allah pintu taubat sentiasa terbuka. Maka, saya pun berdoa agar pimpinan UMNO segera bertaubat sebelum ajal menjemput . Setiap manusia tidak sepi dari membuat kesalahan, tapi sebaik-baik mereka yg bersalah ialah orang yang meminta ampunan Allah dan kemaafan daripada mereka yang dianiaya. Semoga doa saya yang kerdil ini dimakbulkan oleh Allah. Amin.