Penceraian adalah perkara halal yang paling dibenci oleh Allah. Kenapa Allah menghalalkannya ? Kenapa pula paling dibenci jika ianya halal ? Pengalaman saya menghadapi realiti penceraian insan-insan di sekitar menyebabkan saya memahami secara telus kenapa ia perkara halal yang paling dibenci Allah.
Seboleh-bolehnya penceraian cuba dielakkan dalam setiap perkahwinan. Kenapa ?
Setelah bercerai, kebanyakan suami akan mula mengabaikan tanggungjawab memberi nafkah dan perhatian kepada anak-anak yang sedang membesar. Lebih-lebih lagi jika suami mempunyai keluarga baru. Jadi isteri perlu bekerja keras untuk menampung beban belanja yang kian bertambah. Kesibukan isteri akan menyebabkan anak diabaikan. Anak-anak akan memberontak dengan tekanan yang diterima oleh mereka sehingga terlibat dengan masalah sosial seperti dadah, rogol, buang bayi, merempit dan sebagainya.
Masalah yang tercetus menimbulkan kemarahan ibubapa kepada anak-anak yang dikatakan tidak tahu menilai penat lelah mereka menari rezeki. Sedangkan anak-anak mulai membenci ibubapa yang seringkali mengabaikan mereka. Mereka mendapat gambaran peranan ibubapa yang salah dalam mendidik anak-anak. Apabila anak-anak mulai berkeluarga mereka juga meniru gaya ibubapa mereka yang salah dalam membesarkan anak-anak.
Amat sedikit anak-anak yang menjadi mangsa penceraian ibubapa mampu untuk berfikir secara rasional dan berusaha menjadi anak dan ibubapa yang baik setelah mereka berumahtangga. Hakikatnya, walau selama mana pun masa berlalu, calar di hati anak-anak terhadap apa yang mereka lalui di zaman kanak-kanak dan remajanya akan terus kekal hingga ke akhir hayatnya.
Banyak lagi kesan negatif yang akan dirasai oleh mereka yang bercerai dari segi ekonomi, emosi dan sosialnya. Namun Allah tetap menghalalkan penceraian sebagai solusi terakhir bagi sebuah perkahwinan yang tidak dapat diselamatkan lagi. Kenapa ?
Kerana mungkin dengan penceraian itu, pasangan yang bercerai akan menemui pasangan yang lebih dapat menerima mereka seadanya dan memenuhi tanggungjawab yang sebelum ini terabai. Penceraian juga menyelamatkan pasangan yang didera secara fizikal dan emosi. Ia memberi satu nafas baru untuk isteri dan suami memulakan hidup baru mengikut haluan yang terbaik untuk diri mereka.
Jadi, belajarlah untuk menjadi pasangan yang terbaik untuk suami/isteri anda. Kita bercinta bukan sekadar di dunia tapi hingga ke akhirat sana. Terimalah setiap yang berlaku dengan redha kerana pasti ada hikmah yang tidak kita ketahui di sebaliknya. Kepada yang masih bersama, semoga berkekalan selamanya dan kepada yang terpisah, semoga ia adalah keputusan yang paling tepat yang anda putuskan dalam hidup anda.