Friday, August 28, 2009

APAKAH ITU KEMERDEKAAN ?


KEMERDEKAAN memiliki keanekaragaman makna. Perisytiharan kemerdekaan 31 Ogos 1957 oleh Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj secara tidak langsung menerangkan apa makna kemerdekaan bagi tanah air. Ketika Tunku membacakan proklamasi kemerdekaan tersebut, barangkali apa yang difikirkan oleh sebahagian besar rakyat ketika itu adalah kemerdekaan daripada penjajahan kuasa asing.

Namun, apa makna kemerdekaan itu bagi rakyat Malaysia kini – yang merupakan tugas para generasi penerus untuk ‘menjawabnya’? Secara seimbas lalu, mungkin kita dapat perjelaskan secara mudah: bahawa kemerdekaan adalah pintu gerbang menuju cita-cita kebangsaan dan kenegaraan yang sejati.

Apa makna kemerdekaan bagi kita? Sebagai kelompok terbesar daripada keseluruhan rakyat Malaysia, umat Islam seharusnya dapat mengutip makna kemerdekaan tersebut daripada al-Quran. Dalam kitab suci ini ditunjukkan pelbagai kisah kemerdekaan orang-orang terdahulu yang dapat mengilhami kita, bagaimana seharusnya menjadi bangsa merdeka dalam era globalisasi ini.

Pertama, makna kemerdekaan dapat dipetik daripada kisah Nabi Ibrahim a.s ketika baginda membebaskan diri daripada orientasi asasi yang keliru dalam kehidupan manusia. Dalam surah al-An’am ayat 76-79 dikisahkan perjalanan spiritual Nabi Ibrahim dalam mencari Tuhan.

Pencarian spiritual tersebut merupakan usaha Nabi Ibrahim dalam membebaskan hidup daripada orientasi kehidupan yang diyakininya keliru, namun hidup subur dalam masyarakatnya.

Sebagaimana diketahui, masyarakat yang melingkungi Ibrahim a.s ketika itu menyembah berhala. Bagi Ibrahim a.s, peyembahan terhadap berhala merupakan kesalahan besar kerana secara logiknya pun perbuatan itu membawa manusia kepada perlakuan penghambaan yang menjatuhkan harkat dan martabat diri mereka sendiri sebagai manusia.

Bentuk penghambaan yang menjatuhkan harkat-martabat manusia seperti itu juga terjadi pada era moden. Penghambaan terhadap materialisme dan hedonisme telah membawa manusia moden untuk melakukan pelbagai ‘kesalahan’ seperti rasuah tanpa rasa bersalah, mengorbankan nyawa-nyawa tidak berdosa, menghalalkan pelbagai cara untuk meraih kedudukan dan kekuasaan, dan seterusnya.

Penghambaan-penghambaan yang sedemikian itu bukan hanya melukai harkat-martabat manusia, malahan menghancurkan sendi-sendi kehidupan beragama, berbangsa dan bernegara, yang hakikatnya menjadi intipati daripada perisytiharan kemerdekaan negara 51 tahun yang lalu.

Kedua, makna kemerdekaan juga dapat dipetik daripada kisah Nabi Musa a.s ketika membebaskan bangsanya daripada penindasan Firaun. Kekejaman Firaun terhadap Bani Israil dikisahkan menerusi pelbagai ayat di dalam al-Quran. Firaun merupakan ‘bayangan masyarakat’ yang angkuh dan tamak akan kekuasaan di muka bumi.


Keangkuhan pemimpin atau penguasa seperti ini membuat mereka tidak segan silu membunuh dan memperhambakan kaum lelaki Bani Israil dan menistakan kaum wanitanya. Keangkuhan inilah yang mendorong Musa a.s tergerak memimpin bangsanya untuk membebaskan diri daripada penindasan, dan akhirnya meraih kemerdekaan sebagai bangsa yang mulia dan bermartabat (Al-A’raaf: 127, Al-Baqarah: 49, dan Ibrahim: 6)

Seperti halnya kisah kejayaan Nabi Musa a.s, perisytiharan kemerdekaan 31 Ogos 1957 hakikatnya juga merupakan catatan sejarah yang mengakhiri episod keangkuhan dan penindasan kolonial. Sebuah keangkuhan yang membuat bangsa kita terhina selama ratusan tahun.

Namun, usah lupa, berakhirnya keangkuhan dan penindasan rejim kolonialisme tidak serta merta membebaskan rakyat Malaysia daripada keangkuhan dan penindasan rejim lain dalam bentuk yang berbeza.

Tugas dan tanggungjwab terberat daripada sebuah bangsa merdeka sesungguhnya adalah bagaimana mempertahankan kemerdekaan dirinya sebagai bangsa merdeka, serta bebas daripada hegemoni dalaman dan luaran yang menindas. Merdeka daripada hegemoni penindasan dalaman bererti bebas daripada pemimpin-pemimpin dan kelompok-kelompok tertentu yang berpengaruh, yang bertindak dan bertingkah laku laksana penjajah asing yang lupa akan perjuangan orang-orang terdahulu dan ‘tidak segan silu’ berusaha merombak ‘keharmonian’ hidup masyarakat.

Kita memerlukan pemimpin yang sayang dan cinta kepada rakyat dan negaranya sendiri. Tidak hanya cinta sebatas di bibir, namun juga mencintai dan menzahirkannya dalam bentuk dan tindakan yang nyata.

Merdeka daripada hegemoni luaran pula ertinya bebas daripada pengaruh dan tekanan asing (terutama di bidang politik, ekonomi, dan budaya). Bangsa yang merdeka, namun di bawah tekanan politik negara lain, sesungguhnya bukan bangsa yang merdeka. Bangsa yang merdeka, tetapi menyerahkan pengelolaan sumber alamnya kepada pihak asing tanpa pengagihan yang adil, bukan pula bangsa yang merdeka.

Bangsa yang merdeka, namun sangat inferior terhadap identiti budaya bangsa lain, bukan pula bangsa yang merdeka. Kemerdekaan bagi bangsa Malaysia haruslah kemerdekaan yang holistik dan integral dalam pelbagai aspek kehidupan beragama, berbangsa dan bernegara.

Ketiga, kisah kejayaan Nabi Muhammad s.a.w dalam menggalas misi dakwah baginda di muka bumi (Al-Maa’idah: 3) menjadi sumber ilham yang tidak pernah putus atau usang bagi bangsa Malaysia untuk memaknakan kemerdekaan secara lebih holistik dan integral.

Ketika diutus 14 abad silam, Nabi Muhammad s.a.w menghadapi sebuah masyarakat yang mengalami tiga penjajahan sekali gus: kecelaruan atau kekeliruan hidup, penindasan ekonomi, dan kezaliman sosial.

Kecelaruan hidup diekspresikan dalam penyembahan patung oleh masyarakat Arab Quraisy. Rasulullah berjuang keras mengajar kepada umat manusia untuk menyembah Allah Yang Maha Esa dan meninggalkan ‘’tuhan-tuhan’’ yang secara terang-terang perlakuan itu menjeruskan harkat dan darjat manusia (Luqman: 13; Yusuf: 108; Az-Dzaariyaat: 56; Al- Jumu’ah: 2).

Penindasan ekonomi itu dilukiskan di dalam al-Quran sebagai sesuatu yang membuat kekayaan hanya berputar dan berlingkar pada kelompok-kelompok tertentu sahaja (Al-Hasyr: 7). Rasulullah s.a.w mengkritik orang-orang yang mengumpul dan menghitung-hitung harta tanpa mempedulikan kesejahteraan sosial dan keadilan ekonomi (Al-Humazah: 1-4; Al-Maa’uun: 2-3).

Rasulullah s.a.w memperjuangkan pembebasan perhambaan, kesaksamaan lelaki dan perempuan, dan persamaan antara manusia. Dalam khutbah terakhir baginda di Arafah, baginda menegaskan bahawa tidak ada perbezaan antara hitam dengan putih, antara Arab dengan bukan Arab.

Semuanya sama di hadapan Allah s.w.t. Tidak ada sisi atau sudut yang membezakan suatu kelompok manusia dengan manusia lainnya, melainkan tingkat ketakwaan mereka kepada Maha Pencipta (Al-Hujuraat: 13).

Apa makna kemerdekaan bagi kita? Sebagai kelompok terbesar daripada rakyat Malaysia, umat Islam seharusnya dapat memetik, mengambil, menggali (atau apa istilah sekalipun yang seumpamanya) makna kemerdekaan tersebut daripada al-Quran.

No comments:

Post a Comment

Jom baca ini juga ...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Anda Dihargai... Terima Kasih :)

Siapakah Penulis Yang Baik?

Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com